Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, Nabi SAW bersabda,
“Sesungguhnya Allah itu suci bersih dan Allah tidak menerima kecuali yang suci bersih jua”.
Allah berfirman, ‘Wahai rasul-rasul makanlah yang halal dan lakukanlah amalan yang salih.’
Allah juga berfirman, ‘Wahai mereka yang beriman, makanlah rezeki yang baik-baik yang dikurniakan kepadamu.’
Terdapat seorang lelaki yang bermusafir jauh sehingga menjadi kusut rambutnya dan berdebu mukanya. Lelaki ini menadahkan tangannya untuk bermohon kepada Allah dengan berkata ‘Ya Rab, ya Rab’ sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan sesuatu yang haram. Bagaimana akan diperkenankan doanya? Hadis ini menunjukkan sumber rezeki yang haram menjadi sebab musabab sesuatu doa ditolak oleh Allah.
Ibrahim ibn Adham pernah pada suatu ketika berada di kota Basrah. Beliau ditanya tentang punca sesuatu doa tidak dimakbulkan oleh Allah. Beliau berkata,
“Pertama, kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan haknya. Kedua, kamu mengatakan bahawa kamu mencintai rasulullah tetapi kamu tidak mengikut sunahnya. Ketiga, kamu membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya. Keempat, kamu menerima nikmat Allah tetapi kamu tidak menunaikan syukurnya. Kelima, kamu berkata bahawa syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya. Keenam, kamu berkata bahawa syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya. Ketujuh, kamu berkata bahawa neraka itu benar tetapi kamu tidak melarikan diri daripadanya. Kelapan, kamu berkata bahawa mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuk menghadapinya. Kesembilan, kamu bangun dari tidur dan kamu menceritakan tentang keaiban orang lain dan kamu melupakan keaiban dirimu sendiri. Kesepuluh, kamu mengebumikan mayat tetapi kamu tidak mengambil pengajaran darinya.”
(Dari buku ‘Tip-Tip Cemerlang Dari Al-Quran’ oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin)
No comments:
Post a Comment
inspiring words